MTEN IPGM-KPI

Gagasan Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) Diwujudkan Sekitar Tahun 2005-2006 Bagi Memastikan Kelangsungan Biah Islamiyyah Di Bumi IPGM-KPI ini terus berkemudi.

Dapatkan Update Terkini

Daftar Untuk Update Terkini

Saturday, July 18, 2009

Bicara Insan Yang Telah Dibeli Akan Hatinya Oleh Allah Ta’ala

“Kenapa ana nak ke pondok Pasir Tumboh” Di antara bicara salah seorang insan yang telah dibeli akan hatinya oleh Allah ta’ala

Sanggup Jual dunia adalah sifat orang mukmin seperti firman Allah yang bermaksud Sesungguhnya Allah telah membeli hati-hati orang mukmin, diri mereka dan harta mereka bahawasanya mereka dijanjikan balasan syurga, mereka berjuang(berperang) di jalan Allah.

Kenapa pondok? Ya, ana tahu ramai yang mempersoalkan tindakan ana. Pertama sekali, ana minta kita berfikiran lebih terbuka dalam menilai sesuatu perkara dan jauhilah berprasangka buruk kerana ia adalah sebahagian daripada dosa. Dan ana mengambil peluang ini untuk menjelaskan akan keadaan dan situasi ana yang sebenar. Agar kita sama-sama merenung kekhilafan diri dan cuba berfikir mencari jalan keluar dengan jalan yang diredhai Allah.

Agar sedikit coretan tentang kisah ana boleh menggerakkan mereka yang tidur lena di luar sana atau yang mungkin sibuk mengejar urusan yang tidak pernah tamat. Dan ana mendoakan agar ‘urusan yang tidak pernah tamat’ itu dipaksikan atas tujuan Allah semata-mata dan mendapat nilai di akhirat nanti. InsyaAllah.


Ana adalah pelajar yang mengambil ijazah dari sebuah IPTA di Malaysia, dalam bidang sains dan mempunyai harapan yang sangat cerah dalam bidang pekerjaan.Untuk pengetahuan agar lebih jelas ana menangguhkan pengajian di university secara halal dengan surat yang sah dan bukan keluar dari university begitu sahaja.


Sesungguhnya tindakan ana boleh dikategorikan sebagai bodoh kerana ana sudah berada ditahun dua dan pengajian ijazah ana akan tamat setahun sahaja lagi. Tidak lama pun jika difikirkan. Pejam celik pejam celik masa sudah berinjak setahun.Sesuailah dengan hadith akhir zaman yang mengatakan antara tanda-tanda kiamat adalah masa bergerak terlalu pantas.

Tindakan ana yang menangguhkan pengajian di university mencetuskan persoalan banyak pihak dan tidak kurang juga dengan penentangan yang ana terima.Mungkin ada yang terdetik kenapa tidak jumpa kaunselor sekiranya ada masalah atau minta pendapat orang yang lebih dewasa? Ataupun jumpa ustaz ke?

Tidak kasihankah pada mak ayah yang bersusah payah hantar belajar bermula dari sekolah tadika, sekolah rendah,sekolah menengah kemudian ke kolej matrikulasi dan seterusnya ke university? Atau ada yang beranggapan mungkin ana adalah anak orang kaya dan tidak pernah merasai susah peritnya mencari nafkah sesuap nasi.

Ana berfikir tentang semua itu sebelum membuat keputusan. Ana menghargai atas komen dan pendapat yang disiarkan mengenai tindakan ana keluar university atas alasan hendak belajar agama di pondok. Ana setuju bila ada yang mengatakan ilmu agama dicari tidak semestinya di pondok malah boleh dimana-mana sahaja.


Dan juga ada pandangan yang agak kurang enak mengatakan tidak semestinya budak pondok tu baik dan tidak semestinya budak pondok masuk syurga.Dan persoalan yang utama.Kenapa mesti memilih pondok? Ana mencari tarbiyah dan pokok utama dalam tarbiyah adalah bi’ah atau maksud lain adalah suasana. Bi’ah yang boleh membantu mensucikan diri,mengembalikan kita kepada hakikat hidup yang sebenar dan meletak kita di tahap sedar akan peranan kita sebagai hamba Allah atas muka bumi.

Sebagai hamba yang berfikir apa jalan terbaik untuk mengabdikan diri di jalanNya dan sejauh mana kita berusaha mencapai ke arah itu. Ana sangat mencari tarbiyah yang mementingkan kepada penyucian jiwa, pembersihan hati dari karat-karat mazmumah yang terbina dalam diri sejak kecil tanpa kita sedari. Dan biah itu wujud pada system pengajian pondok walaupun tidak sesempurna seperti zaman Rasulullah.


Tetapi usaha untuk membina bi’ah itu adalah lebih mulia berbanding mereka yang hanya bijak berteori semata.Ana keliru bagaimana ana hendak membina akidah yang telus, keyakinan yang jitu berpaksikan Iman dan Takwa di tempat yang tidak mengamalkan biah seperti di zaman Rasulullah.

Bagaimana iman boleh terbina di suasana yang bercampur lelaki dan perempuan tanpa batasan, maksiat terlalu berleluasa, urusan solat diremehkan, urusan aurat dipandang tepi, surau dan masjid kosong, sejadah dan telekung hanya hiasan, masa dihabiskan dengan berborak hal-hal yang jauh dari Islam, membuat program hiburan seperti barat, menyanyi dan menari lelaki perempuan, dan yang paling teruk berzina adalah perkara biasa.


Sedangkan zaman Rasululullah dan para sahabat cukup menjaga biah apatah lagi kita sebagai umat akhir zaman yang membaca Al-Fatihah pun belum tentu betul tajwidnya. Ana pernah menjalankan survey kepada budak university dan ramai yang tidak tahu apa itu dua kalimah syahadah. Ana belum lagi masuk kisah judi, arak, pondan, gay, dan bohsia dan yang paling menakutkan adalah kristianisasi yang sedang bergerak dengan dasyatnya.

Adakah kita prihatin dan peduli? Cuba cari buku tentang kegiatan kristianisasi dan jika anda sayang pada umat Islam dan bangsa kita tentu anda tidak senang duduk. Akidah umat Islam runtuh, akhlak hangus dan Islam hanya sekadar pada nama. Dan ada yang sampai malu untuk mengaku dia adalah seorang Islam. Perkara ini menimpa semua orang termasuk anak ustaz, anak ustazah, pelajar sekolah agama, anak orang kaya, anak orang miskin, anak pensyarah, anak doctor, anak datuk..Semua ada. Ana sedang menuntut ilmu dan ana sangsi dengan diri ana. Bagaimana ilmu boleh masuk ke dalam hati yang kotor? Ilmu adalah cahaya hidayah.


Ilmu menjadi wadah dan jambatan untuk kita mengenal Allah, memahami kewujudan Allah, mencetuskan daya berfikir atas usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan amal dan yang penting dengan ilmu kita ingin mengubah masyarakat. Untuk membawa masyarakat agar sama-sama berukhwah untuk menegakkan daulah Islamiah. Target dan tujuannya adalah Allah.

Memang suasana akhir zaman sudah ditegaskan oleh Rasulullah ciri-cirinya dan kita sedang menempuhinya, tetapi adakah kita hanya perlu menyerah tanpa berusaha?. Samada target tercapai atau tidak itu adalah urusan Allah. Dia Maha Mengetahui dan Maha Menentukan. Ana selalu berfikir, diantara menjaga kesucian, harga diri dan izzah seorang perempuan muslimah dan keperluan hidup yang semakin mencengkam.

Antara melindungi keperibadian diri dan memelihara diri dari fitnah syaitan atau kehendak keluarga,masyarakat dan orang sekeliling. Apabila diri sudah mengenali tarbiyah, tiada lain yang lebih indah melainkan hidup atas landasan Islam yang sebenar. Bukan ijazah,bukan master atau phd yang diburu tetapi yang penting adalah keberkatan dan keredhaan.


Biar ilmu yang ditimpa sedikit tapi dengan ilmu yang sedikit itulah yang menjadi pegangan kerana tiada manusia yang mempunyai kesempurnaan ilmu. Ana bukan seorang penghafal al-Quran, bukan ahli kaji hadis, bukan ahli jihad, tidak pernah bersekolah agama,…tetapi ana orang islam. Dan ana juga perempuan yang bersifat lemah yang dianugerahi hanya 1 akal..perempuan dimana nabi Muhammad mengatakan boleh menjadi fitnah kepada kaum lelaki.

Mungkin ada yang memberi sarana pada ana agar tinggal bersama keluarga sambil menyambung pengajian. Ana ada berfikir tentang ini tetapi kondisi keluarga ana adalah sangat tidak dapat membantu. Kenapa begitu? Ana adalah gadis biasa, membesar di kampung dengan dikawal ketat pergaulannya.


Sejak umur 9 tahun tudung tidak pernah ditanggalkan dari kepala. Nak berkawan dengan lelaki tidak berani sebab ayah ana pernah mengugut sekiranya nampak ana bersama dengan budak lelaki ketika ke bandar dia akan menampar ana di situ juga. Walaupun ana patuh, ayah ana tetap menfitnah ana keluar dengan budak lelaki. Ana selau menangis dan mengadu pada mak ana bahawa ana tidak sesekali buat macam itu.

Ana akan selalu memperkenalkan kawan ana pada ibu bapa ana agar mereka tahu apa ana buat dan ana pohon kepercayaan dan restu mereka atas persahabatan ana. Ana banyak menghabiskan masa di rumah dengan menumpukan perhatian pada pelajaran dan kurang bersosial. Sehingga umur ana 18 tahun, ana masih belum kenal jenis-jenis rokok dan tidak pernah tahu jenis dadah pun termasuk heroin.


Ana pernah ditegur sebab ana terlalu kuno tentang dunia luar dan ana diingatkan bahawa adalah penting untuk ana tahu itu semua. Ana masih ingat ketika di university, ana ada mendengar tazkirah dari seorang senior dan dia ada menyebut perkataan ‘Toto Sports’. Ana terus bertanya pada rakan disebelah apa maksudnya ‘ Toto Sports’. Senior yang sedang memberi tazkirah mendengar soalan ana itu terhenti percakapannya dan menerangkan bahawa ia adalah nama kedai judi.

Alhamdulillah, didikan keras ayah ana banyak membantu ana untuk tegar terutama dalam hal mempertahankan aurat walaupun banyak yang memujuk ana kearah kejahilan. Ketika kecil ana hanya tahu ana kena tutup aurat sebab ana orang Islam dan ayah suruh. Ana tidak tahu sama sekali bahawa perintah dan tatacara menutup aurat wujud dalam Al-Quran. Sungguh ana tidak tahu. Ayah ana sangat menekankan kami adik beradik untuk tidak meninggalkan solat walaupun ana sangat malas untuk melakukannya.


Ana tidak faham kepentingan solat. Lagipun, ana tidak pernah merasakan kebersamaan Allah bersama ana apabila ana ditimpa masalah. Ana sebagai anak sulung berhadapan dengan konflik keluarga yang kronik. Puncanya adalah duit. Masalah tidak cukup kewangan adalah normal tetapi adakah mengamuk, maki hamun, melepaskan geram pada anak-anak, mengungkit soal kesusahan adalah tindakan normal? Ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi sempurna, rajin solat, pandai dalam pelajaran, menghormati kedua orang tua dan berakhlak mulia.

Tetapi adakah didikan yang diberi oleh ibu bapa setara dengan hasil yang diingininya? Ana tidak sesekali mempersoalkan kasih sayang dan jerit payah ibu bapa dalam mendidik anak-anak tetapi gunakanlah cara yang sepatutnya.

Adalah kurang sesuai menyalahkan anak-anak atas tindakan mereka yang suka memberontak dan keluar dari rumah. Ana juga sebagai anak-anak memerlukan ketenangan dalam membesar apatah lagi dalam membina personality diri.Ana adalah anak remaja dan ibu bapa adalah orang dewasa yang lebih banyak makan garam dan lebih berfikiran waras dalam membuat keputusan.

Dunia sekarang seakan terbalik apabila kita melihat perangai orang dewasa yang seperti
kebudak-budakan dan menuntut anak-anak memahami kedudukan mereka. Ini adalah hakikat dan ana sering mengalaminya. Ana membesar dalam suasana emosi tidak stabil. Ibu ana yang dulunya tabah, lembut dan sudi berkongsi cerita dengan anak-anak berubah. Ana dimarah kembali sekiranya ana mengadu hal ana dan kadang-kadang dimarah tanpa sebab. Kejadian seperti ini bukan sekali dua tetapi tiap-tiap hari.

Jika dulu ana banyak memberontak dan melawan. Sekarang ana sering memperingatkan diri bahawa tindakan ana adalah salah dan berdosa. Ana hanya berdiam diri, berkurung dalam bilik dan menangis sorang-sorang. Tiada siapa pun nampak tangisan ana sebab ana pandai berpura-pura.




Hanya adik bongsu ana yang berumur 10 tahun selalu datang ke bilik ana dan memandang wajah ana dengan simpati dan seakan ada genang di matanya. Ana selalu mengadu pada adik ana akan nasib malang ana tetapi dia membalas kembali bahawa ana adalah yang paling beruntung. Ana tersenyum. Perasaan ana pulih sedikit. Adik lelaki ana berhenti sekolah ketika umurnya 15 tahun, Dan dia selalu keluar rumah dan tinggal bersama seorang peniaga yang hidupnya berniaga dan suka berjudi.

Malah dia mempunyai anak lelaki yang telah berzina sehingga membuatkan gadis itu mengandung.Mana mungkin ibu bapa ana tidak bimbang. Adik ana berkelakuan seperti itu kerana dia tidak mendapat perhatian dan kasih sayang ibu ana. Ibu ana sibuk bekerja mencari wang untuk hidup dan menyekolahkan kami adik beradik.


Ana mengagumi ketabahan serta kesabaran ibu ana berjuang untuk hidup lantaran sikap ayah ana yang kurang memahami erti tanggungjawabnya dalam keluarga. Kerja tidak pernah tetap, dan selalu naik angin jika di rumah.Dan terkadang ibu ana seakan menyesal dengan perkahwinannya di usia muda(19 tahun). Dia selalu mengingatkan pada ana agar tidak menikah awal kerana bimbang nasib berulang.

Saudara mara pun sudah penat mendengar aduan ibu ana. Ibu ana hanya meminta saudara mara untuk menasihatinya. Ayah ana pula dikawal dengan egonya yang terlau tinggi dan tidak boleh mengawal kesabaran ketika berbincang. Apabila ibu ana selalu mengadu pada ana tentang sikap ayah ana, perasaan ana bertukar menjadi benci dan dendam. Hidup ana adalah seperti tidak ber ‘ayah’ sehingga ramai yang menyangka ana adalah anak yatim.


Ana semakin yakin ketidakbahagiaan keluarga kami adalah disebabkan wang. Kerana kami miskin. Bila ana mula mengenali apa itu tarbiyah, barulah ana sedar bahawa ana salah sama sekali. Ana mula berfikir sebab sebenar yang menjerumuskan keluarga ana ke arah kebinasaan. Jiwa ana yang selama ini tidak mempercayai erti kewujudan kasih sayang berubah untuk optimis dalam hidup.

Ana tidak sesekali menyalahkan ayah ana lantaran kegagalannya mengemudi institusi rumahtangga. Juga tidak pada ibu ana yang meletak kebahagiaan pada wang. Ana meletakkan dasar empati pada diri ana. Membayangkan diri di tempat mereka. Memahami apa yang membuat mereka jadi sebegitu.


Ayah ana selalu dipukul sejak kecil, dimarah, hidup merempat dan kurang dipedulikan keluarga. Opah ana banyak kali berkahwin dan berpindah randah. Urusan pendidikan ayah ana terbengkalai. Sekolah hanya setakat darjah 5. Makan hanya menumpang di rumah saudara mara. Kadang dia berdendam pada ayah tiri yang banyak menyeksanya. Ibu ana pula kehilangan ayah ketika kecil. Hidup bersama ibunya dan dua orang abang. Ibu ana yang lembut banyak ditindas, harta sepeninggalan diguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Urusan pernikahannya dengan ayah ana juga diurus oleh orang lain. Nenek ana sebelah ibu pernah bercerita bahawa dia tidak tahu menahu tentang urusan jodoh mak ana. Sedar-sedar ada orang masuk minang.

Impian mak ana untuk sambung belajar terbantut dan dia memasang harapan agar mendapat suami yang baik, anak yang menyenangkan hati dan hidup yang sejahtera.Ayah dan ibu ana juga adalah mangsa kekhilafan dalam memahami erti kehidupan. Bila rujukan dan panduan yang sepatutnya ditolak tepi. Agama digunakan sebagai jalan terakhir. Lalu, takkan harus dibiarkan sebegini? Adakah ana perlu bersabar tanpa bertindak? Hanya doa tanpa usaha. Mungkin bukan untuk kita tetapi untuk generasi seterusnya.


Bagi kaum Hawa, mereka adalah bakal isteri dan bakal ibu. Begitu juga kaum Adam yang merupakan bakal suami dan bakal ayah. Allah Maha Berkuasa kerana telah menyelamatkan ana dari terjerumus ke lembah hina.

Ana juga banyak berbuat kesilapan dalam hidup.Pernah membenci pernikahan, membenci lelaki dan cemburu pada kebahagiaan orang lain. Hidup dengan bersangka buruk. Hati menjadi kotor. Lalu, ana ingin membaiki diri. Dan ana memilih pondok. Sebagai usaha ana membuang kejahilan diri. Disamping kos hidup yang murah, para pengajar mengajar tanpa imbuhan. Suasananya tenang, dihiasi dengan zikrullah, mengingatkan diri akan status hamba dan yang penting adalah penyucian akidah.


Pondok sajalah sarana dan kebahagiaan dan ketenangan yang dicari bertitik tolak dari hati kita. Semua itu adalah Rahmat dari Allah jua.Mengapa mesti tunggu kita dilabel sebagai budak bermasalah oleh masyarakat baru hendak ke pondok? Ana tahu di luar sana ramai lagi mahasiswa dan mahasiswi di university telah bermujahadah melawan nafsu dan kebatilan.

Menjalankan program agama, menegakkan tarbiyah dan cuba menarik para sahabat yang semakin jauh dari sinar Ilahi. Ana mengagumi mereka semua yang tegar iman. Ana tidak mempunyai kekuatan sebegitu.


Jiwa ana memerlukan rawatan yang dalam dan penjagaan keseluruhan. Agar dosa yang ana buat selepas ini membawa ana mengenali erti taubat yang sebenar. Yang penting, ana mencintai dan menyayangi insan yang banyak membantu ana. Terutama ibuku,ibuku dan ibuku. Kerana ana sayang padanya dengan segenap jiwa raga ana. Sayang pada ayah ana, sayang pada adik beradik ana dan ana sayang pada nenek ana.

Begitu juga saudara mara yang selalu melihat titisan air mata ana, sahabat yang setia dalam suka dan duka atau siapa sahaja yang berhati mulia. Yang pasti kecintaan ana pada kalian semua akan menghampirkan diri ana kepada Allah. Dan ana sangat tertarik pada kata-kata ini yang dipetik dari kitab Tanhibul Al Ghaflin.


‘ Allah telah memuliakan umat ini dengan lima kemuliaan:

1. Allah menjadikan mereka lemah supaya tidak sombong.
2. Mereka dijadikan kecil-kecil supaya tidak memberatkan belanja, makan, minum dan pekerjaan.
3. Menjadikan usia mereka pendek supaya kurang dosa mereka.
4. Menjadikan mereka faqir/ miskin supaya meringankan hisab mereka di akhirat.
5. Menjadikan mereka umat terakhir supaya tidak tinggal lama di dalam kubur.


Submitter : Mohd Amzari Iberahim

Bendahari MTEN 09/10

Sumber :

http://halimislamic.blogspot.com/2008/01/kenapa-ana-nak-ke-pondok-di-antara.html

0 comments:

Post a Comment

Liqa' Nuqaba..

Liqa' Nuqaba..

Liqa Nuqaba'

Liqa Nuqaba'

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab

Daurah Kitab