MTEN IPGM-KPI

Gagasan Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) Diwujudkan Sekitar Tahun 2005-2006 Bagi Memastikan Kelangsungan Biah Islamiyyah Di Bumi IPGM-KPI ini terus berkemudi.

Dapatkan Update Terkini

Daftar Untuk Update Terkini

Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

Sindrom hebatnya aku. Sibuk berdakwah!



Hebatnye?
 
Cabaran dan ujian datang dalam bentuk yang pelbagai. Bagi yang beramal ia datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat. Merasa keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang telah diusahakan.  
Nabi s.a.w bersabda :-
ثلاث مهلكات : : شح مطاع و هوى متبع وإعجاب المرء بنفسه
Ertinya : Tiga pemusnah (amalan), kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan merasa agung dan hebat dengan diri" ( Riwyaat Al-Bazzar & At-Tabrani, Hadis Hasan  : ALbani )
Ada yang terdetik di sudut hatinya.
"Aku hebat, akulah sentiasa solat berjemaah di masjid"
Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya malah jauh lebih khusyu solatnya dan hatinya tawadhu'.
Benar, sedarkah kita bahawa walaupun kita sentiasa ke masjid, namun kebiasaannya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid atau surau itu. Mungkin sekali sekala kita yang terawal namun dalam banyak keadaan kita bukan yang terawal. Malah jika yang terawal sekalipun ia belum tentu yang paling berkualiti di sisi Allah swt.
Ada yang terdetik :
"Akulah hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam."
Sedangkan ia lupa ramai lagi yang lebih lama telah berjuang darinya, malah ada yang terkorban. Jauh lebih berani dari dirinya.
DAHSYATNYA AKU, SIBUK BETUL
Lagi detikan :-
"Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah..hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini"
Ada yang merasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain, sehingga mindanya terhalang dari merasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa darinya.  
Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah diri dan amal. Malah ia terlupa dek kerana keghairahan memuji dirinya, terdapat ramai lagi yang lebih sibuk darinya dalam hal dakwah, malah 5 -6 ceramah setiap hari. Malah ada yang jauh lebih sibuk dari bercermaha. Iaitu mereka yang berjuang dalam penulisan kitab 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero dunia.
Lupakah dirinya, terdapat ramai yang berjuang namun bukan sekadar memberi ceramah tapi mereka sudah sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti-inti ceramah tersebut sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan. Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat ummat dari sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.
Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, sudahnlah ianya sedikit  malah perasaan sebegini akan menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah swt. Inilah nasihat buat saya dan rakan-rakan pendakwah di luar sana.
Rasulullah s.a.w mengajar kita, dalam hal keagamaan untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
Namun adalah malang ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik. Dalam hal dunia sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu dari segala hukum halal haram.
Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk darinya, lalu mengganggap dirinya agak lebih baik. Seperti kata :
"ala orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu"
PALING ALIM
Selain dari itu, ada yang terdetik :
"Akulah antara yang teralim dan paling mendalam"
Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain. Sedangkan terleka dari firman Allah swt :-

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ
Ertinya : "..dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui" ( Yusuf : 76 )
Inilah yang menjadikan Khalifah Umar Al-Khattab berkata :-
كل الناس أفقه من عمر
Ertinya : Semua orang lebih faham dari Umar al-Khattab (Tafsir Ibn Su'ud, 6/276 )
Inilahyang disebutkan oleh Ibn Qayyim :-
أي فوق كل ذي علم رفعه الله بالعلم من هو أعلم منه حتى ينتهي العلم إلى الله تعالى والكمال في العلم معدوم من غيره
Ertinya : ertinya di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, terdapat mereka yang lebih mengetahui darinya sehinggalah tamat pada ilmu Allah swt, dan yang sempruna dalam ilmu tidak selain Allah( Zad AL-Masir, 4/262 )

Ya Allah, diminta jauh dari penyakit sebegini hinggap di dalam hati-hati kami. Perlulah dikethaui bahawa antara punca datangnya penyakit ini adalah hasil pujian-pujian menggunung yang diperolehi. Sila baca bab tersebut di sini.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Penyakit : Sibuknya, Hebatnya 
23 Jun 2008
»»  read more

Thursday, October 21, 2010

Jika Terfikir Lakukan Maksiat...


Semua individu pasti akan terlintas untuk melakukan maksiat dan dosa, khususnya yang melibatkan dorongan seksual.  Lantaran itu hasil kerja professional Syaitan dan itu juga ajakan nafsu kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Setiap kali terfikir maksiat terbabit pasakkan dalam hati dan minda akibat buruk yang menunggu akibat darinya seperti :  
  1. azab api neraka, 
  2. azab kubur, 
  3. mati buruk (suul khatimah) dalam kemaksiatan 
  4. kejauhan dari rahmat Allah swt serta 
  5. tiada peruntukan Syafaat baginda nabi s.a.w 
  6. dan lain-lainnya.

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal-hal ghaib, namun bukan itu sahaja, terdapat  banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti:-
  1. penceraian akan berlaku akibatnya, 
  2. pasangan zina mengandung, 
  3. bunuh anak luar nikah akhirnya mungkin berlaku akibat malu, 
  4. mungkin penceraian akan berlaku akibat darinya, 
  5. apa akan jadi kepada anak-anak ?, 
  6. kejian masyarakat, 
  7. ditangkap basah dan diumum di media, 
  8. adik beradik mengeji, 
  9. akan dijangkiti HIV dan seterusnya AIDS & mati, 
  10. dibuang kerja kerana imej buruk kepada syarikat,
  11. mati ketika zina dan khalwat dilakukan, 
  12. dan banyak lagi boleh disenaraikan.

Pasakkan semua implikasi negatif berbentuk spiritual (ghaib) dan fizikal ini di dalam minda setiap kali nafsu syahwat itu ingin dituruti atau mempengaruhi, harapannya ia nyalaannya akan mengecil.

KAWALAN
Panduan Kawalah nafsu syahwat secara ringkas dan padat (tidak mengikut aturan tertib) :-

  1. Fikirkan target kehidupan dan usahalah melaksanakannya, pinggirkan pemikiran berkenaan seks dan syahwat, sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target tersebut.
  2. Datangkan keyakinan Allah maha melihat apa yang dilakukan di ketika ramai dan sendirian ,Allah swt sedang melihat apa yang sedang kita lakukan.
  3. Sedarkan diri malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
  4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
  5. Putuskan hubungan ‘songsang' dan ‘gelap' sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri berseroangan di hadapan komputer. Jika berbual mesra dan makan tengahari bersama dengan rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elakkan diri darinya dan makan sendirian bersama yang sama jantina sahaja.  Begitulah seterusnya.
  6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
  7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat, semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong syahwatnya, ia mungkin tidak sama antara satu sama lain.
  8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
  9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah, tapi awas elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat.
  10. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan kegamaan, dengannya membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. Sekarng, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini, sebagai contoh JIM, TABLIGH, ABIM, GAMIS, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Pengguna Islam, Yayasan AMAL, NISA , KARISMA dan sebagainya. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.
  11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan, dengan itu, pemikiran kepada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan
  12. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
  13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu, adakah redha untuk menerima kematian dalam situasi itu?. Fikirkan selalu.
  14. Kalau sedang anda bersyahwat kepada seorang wanita sama ada di kaca internet, tv atau fizikal, segeralah berfikir tentang yang hodoh tentangnya agar syahwat menjadi menurun, seperti fikirkan mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir,  najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS  dan banyak lagi. Lawan nafsu yang sedang meningkat dengan mereka cipta perkara yang bertentangan dengan keseronokan nafsu. Ini diperlukan jika pemikiran terhadap alam ghaib dan akibat buruk gagal membendung perasaan.
  15. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InshaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit.  Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingtakan kebesaran Allah.
  16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk Syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera.  Kerana itu Allah swt mengingatkan :-

وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Ertinya : Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu    yang amat jelas ( Al-Baqarah : 168 )

17. Menjaga pemakanan, pastikan makan makan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
18. Memastikan harta yang perolehan adalah dari sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. IBarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
20. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin semasa sujud di dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
21. Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Ertinya : dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa ( Al-Imran )

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan aqal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati. Akhirnya Allah berfirman :-
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Ertinya : Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya (Al-Shams : 9-10)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
29 Julai 2009
»»  read more

Saturday, September 25, 2010

Assignment VS Dakwah

Jenayah Akademik Aktivis Dakwah - Us Hasrizal Jamil / Saifulislam.com

Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus. Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil. DULU-DULU Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang [...]
“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.
Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.
DULU-DULU
Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!
Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.
Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.
Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.
Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.
HARI INI
Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.
Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.
Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?
Tentu sahaja tidak.
Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!
Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.
‘ESCAPISM’
Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?
Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.
Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.
Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.
Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.
Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.
ALASAN
Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.
Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.
MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’
“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.
Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.
“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.
Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.
Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.
Sifirnya mudah.
Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.
Itqan.
Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naassesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!
Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.
Lupakah kita kepada firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]
Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.
Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.
KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA
Setuju. Saya setuju 100%.
Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.
Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh prosespembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.
Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.
Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!
Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!
AKIBAT LEMAH AKADEMIK
Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.
Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.
Syariatullah
Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.
“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.
“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.
“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.
Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buathomework.
Itu jenayah terhadap Syariatullah.
Sunnatullah
“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.
Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.
Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.
Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?
Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.
Mencetus mudarat..
Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!
Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?
ALLAH MESTI TOLONG
Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.
Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.
“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.
Cuba perhatikan firman Allah SWT:

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]
Allah SWT berjanji akan membantu.
Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.
TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).
Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.
Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.
Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.
Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.

Gambar hiasan
Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.
Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.
BERLATIH MENGURUSKAN REALITI
Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.
Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.
Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.
Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.
Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.
Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.
TAMRIN DISIPLIN
Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.
TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.

“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]
Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.
Berdisiplinlah!
p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
»»  read more

Liqa' Nuqaba..

Liqa' Nuqaba..

Liqa Nuqaba'

Liqa Nuqaba'

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab

Daurah Kitab