MTEN IPGM-KPI

Gagasan Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) Diwujudkan Sekitar Tahun 2005-2006 Bagi Memastikan Kelangsungan Biah Islamiyyah Di Bumi IPGM-KPI ini terus berkemudi.

Dapatkan Update Terkini

Daftar Untuk Update Terkini

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Wednesday, February 9, 2011

SAY NO TO VALENTINE!




Tarikh 14 Februari sering menjadi bualan dan dinanti-nantikan oleh pasangan remaja yang bercinta. Tanggal tersebut seoalahnya menjadi hari terbaik bagi mengungkapkan rasa kasih sayang antara pasangan kekasih. Amalan ini bagaikan sudah meresap dalam masyarakat kita hari ini. Media tempatan juga menjadikan hari Valentine sebagai satu perayaan yang perlu disambut dan diraikan pada setiap tahun. Pelbagai rancangan dan program diadakan bagi meyemarakkan hari Valentine ini.
Valentine dalam sejarahnya jelas berkait dengan budaya Kristian yang menyatakan Hari Valentine bermula dengan kisah kematian seorang Paderi yang digelar St. Valentine. St Valentine dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang diberi nama Raja Claudius pada 269 hingga 270 Masihi.
Kisah pembunuhan itu menyebabkan St. Valentine diabadikan sebagai tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dalam menghadap cubaan hidupnya. 14 Februari lantas diangkat oleh masyarakat Kristian sebagai upacara keagamaan dalam memperingati St. Valentine yang mati dibunuh.
Terdapat juga pendapat lain yang mengaitkannya Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia daripada gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
Pendapat lain mengatakan Valentine ini dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat keempat pula menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Ken Swiger dalam artikelnya Should Biblical Christians Observe It? pula menjelaskan, kata "Valentine" berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud, "Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Maha Kuasa". Kata ini ditujukan kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan orang Romawi".
Tanpa disedari, ketika kita meminta orang menjadi 'to be my Valentine', bermaksud kita meminta orang menjadi 'Sang Maha Kuasa'. Perbuatan ini jelas membawa kepada perbuatan syirik dengan menyamakan makhluk dengan Allah. Selain itu, ikon si Cupid (bayi bersayap dengan panah) yang sering digunakan semasa hari Valentine adalah putra Nimrod "the hunter" iaitu dewa matahari.
Semangat Valentine ini jelas bertentangan dengan simbol-simbol syirik yang hanya membawa kepada rosaknya akhlak remaja. Perbuatan meraikan hari Valentine ini sememangnya bercanggah dengan syariat Islam kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian yang boleh merosakkan akhlak.
"Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." Hadis Direkodkan oleh Imam Abu Dawud.
Peniruan budaya barat ini yang jelas terpesong daripada akidah Islam ini salah di sisi agama Islam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah dalam Surah Al-Kafirun, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku."
Menyedihkan apabila terdapat segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati bagi mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya. Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syarak kerana ianya menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina.
Firman Allah dalam Surah Al-Israa ayat 32 menjelaskan, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan."
Sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia yang menyambut Hari Valentine hanya bertujuan untuk meniru budaya yang diambil dari barat. Bagi mereka budaya barat yang yang diamalkan mencerminkan corak hidup yang sesuai pada zaman yang serba moden ini. Maka, kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh, mewarnakan rambut, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.
Islam sendiri memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, keluarga, sahabat dan sesama masyarakat boleh diterapkan setiap hari bagi mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah
»»  read more

Thursday, December 2, 2010

Pada Manusia & Alam Ini

NGIN JADI APA WAHAI ANAKKU?

Dari tingkap kaca bilik studi suami, saya gemar melihat ke langit yang tinggi, sambil menatap cahaya mentari yang melimpah di siang hari yang cerah. Cukup mempesona. Sangat mendamaikan rasa.
Tatkala awan putih meliputi langit yang membiru, kepulan-kepulan bak kapas bersih itu pasti bergerak ke satu arah yang sama, mengikut arah tiupan bayu. Liang liuk pepohonan turut menambah kemeriahan alam. Sangat menenang dan mengasyikkan.
Memerhati keharmonian alam saat ini, hati diusik kenangan sewaktu kecil. Mendongakkan kepala ke langit yang tinggi. Bermain dan berimaginasi bersama kawan-kawan sebaya. Pelbagai gambaran yang timbul di fikiran kami ketika melihat awan putih yang melata.
Terdapat kepulan-kepulan awan yang besar bagaikan kepala sang gajah. Ada pula kepulan–kepulan kecil umpama asap yang keluar dari serombong keretapi lama. Tidak kurang juga, gandingan kumpulan awan yang membentuk kelopak bunga putih yang indah.
Semua gambaran itu kami ceritakan dan kongsikan bersama.
Banyak kali imaginasi yang diberitahu kepada rakan-rakan menerima reaksi yang begitu mencuit rasa. Diketawakan, diusik dan pelbagai lagi. Namun semua itu tidak sedikit pun mencarik kemesraan yang terjalin antara kami. Memang indah mengimbas keriangan di usia mentah. Tiada apa yang dirisaukan. Tiada gundah dan gelisah.
Kehidupan tika itu dipenuhi hilai tawa dan senyuman yang panjang.
KALAU SAYA SATU BENDA“Hari ni ustazah nak minta setiap seorang dari kamu menulis satu karangan pendek.” Saya memberikan makluman awal aktiviti yang akan dijalankan di dalam kelas agama anak-anak Melayu Leicester ( MASLEICS ). Kak long dan kak ngah merupakan dua dari empat orang pelajar perempuan yang hadir. Selebihnya, ada seramai enam pelajar lelaki di antara mereka.
“Ala…nak tulis panjang ke ustazah?” Salah seorang dari mereka bertanya. Terdengar sedikit keluhan dari wajah-wajah muda di hadapan saya.
Saya tersenyum.
“Tak perlu panjang. Satu perenggan dah cukup,” saya menjawab.
“Tajuknya : kalau saya satu benda, saya ingin jadi….( apa ?). Tuliskan juga sebab-sebab mengapa kamu pilih benda tersebut dan kemudian lukiskan benda itu. Semuanya mesti ditulis dan dilukis di atas kertas yang ustazah edarkan ini. Faham ye?” Saya memberikan arahan selanjutnya.
“Faham,” mereka menjawab.
“Jangan lupa, tuliskan matapelajaran di bahagian atas. Hari ini kita belajar tauhid,” saya menyatakan sambil menulis matapelajaran yang sedang dipelajari di papan putih.
“Aik…ustazah suruh kita tulis karangan dan melukis. Apa pulak kaitannya dengan tauhid?” Di belakang saya, terdengar bisikan kehairanan seorang pelajar lelaki bersama rakannya yang duduk bersebelahan.
“Buat je lah,” rakannya membalas. Saya mendengar dengan senyuman yang kian melebar.
SEBUAH KISAHAda sebuah kisah menarik yang pernah saya baca. Pengajaran yang terdapat padanya sangat baik untuk renungan bersama. Begini kisahnya…..
Suatu ketika ada dua batang pokok yang tumbuh dan membesar di atas sebuah bukit di dalam hutan. Kedua-duanya saling berbicara di antara satu sama lain tentang impian dan cita-cita masing-masing.
“Aku berharap, suatu hari nanti aku akan menjadi peti simpanan harta. Aku akan diisi dengan emas, perak dan barangan kemas yang begemerlapan. Badanku akan diukir dengan ukiran yang indah dan menawan. Semua orang akan memuji kecantikan dan keindahan yang menyerlah pada tubuhku,” kata pohon pertama memasang angan-angan.
“Aku pula mengimpikan akan menjadi sebuah kapal yang besar dan gagah. Di tubuhku ini, aku akan membawa raja dan permaisurinya belayar merentas lautan sehingga ke penjuru dunia. Semua yang berada di atasku akan merasa selamat kerana kekuatan binaanku dan keampuhan tubuhku,”pohon kedua pula menyuarakan impian.

Selang beberapa tahun selepas itu, datang sekumpulan pembalak. Salah seorang dari mereka meninjau ke batang pohok pertama.

“Pokok ini nampak kuat. Aku akan tebang ia dan berikannya kepada tukang kayu…” terdengar bicara si pembalak. Pohon pertama berbunga rasa. Dia pasti, angan-angannya dulu untuk menjadi peti simpanan harta akan menjadi nyata.

Sementara itu, seorang pembalak lain mendekati pohon kedua.

“Pokok ini, batangnya utuh dan teguh. Aku akan tebang ia dan menjualnya ke limbungan kapal,” kata pembalak tersebut. Pohon kedua tersenyum gembira. Dia yakin perjalanan impiannya untuk menjadi sebuah kapal yang besar dan kukuh akan terlaksana tidak lama lagi.


TAKDIRNYA BEGITUSebaik sampai di tempat tukang kayu, pohon pertama diambil dan dijadikan sebuah kotak kayu yang digunakan sebagai bekas makanan untuk haiwan ternakan. Ia kemudiannya diletakkan di dalam bangsal. Pohon pertama berduka. Musnah sudah angan-angannya dulu. Dia kini bukanlah sebuah peti simpanan harta yang berukir cantik, tetapi sebaliknya hanya kotak kayu biasa berisi timbunan jerami kering.

Pohon kedua pula sampai ke limbungan kapal. Di sana, dia dipotong dan dijadikan sebuah bot kecil untuk menangkap ikan. Sebagaimana pohon pertama, pokok kedua juga kecewa dan tidak gembira. Dia tahu, impiannya dulu untuk menjadi sebuah kapal yang kuat dan kukuh, hanya tinggal impian semata.

Tiga tahun berlalu, dan kedua-dua pohon itu semakin melupakan impian dan harapan yang pernah mereka semai.


Sehinggalah pada satu hari, sepasang suami isteri yang entah dari mana tiba di bangsal, di mana pohon pertama berada. Di bangsal ini, si isteri melahirkan seorang bayi. Oleh kerana tiada tempat lain yang sesuai untuk meletakkan bayi mereka yang masih kecil, pasangan suami isteri tersebut membaringkan anak mereka pada tubuh pohon pertama yang telah menjadi kotak kayu berisi jerami kering. Hanya kotak itu sahaja yang dapat memberikan sedikit keselesan kepada si kecil yang belum mengerti apa-apa.

Pohon pertama bagaikan turut merasai keperluannya saat ini. Kini dia menyedari, walau tidak dapat menjadi peti simpana harta dengan kilauan emas permata yang berharga, dia kini sedang memegang satu ‘harta’ yang sangat penting dan bernilai sepanjang masa. Seorang anak kecil yang diharapkan akan membesar dan berbakti kepada dua ibu bapanya.

Beberapa tahun selepas itu pula, sekumpulan nelayan menggunakan bot kecil yang diperbuat dari pohon kedua. Nelayan-nelayan itu mula bergerak ke tengah samudera luas untuk menangkap sebanyak mungkin ikan. Tiba-tiba, ribut besar melanda. Lautan yang tenang mula mengganas. Bot kecil itu terumbang-ambing dihempas badai.

Saat itu, pohon kedua yang telah menjadi bot kecil tersebut merasa tidak mampu untuk menyelamatkan nelayan-nelayan di dalamnya sehinggalah dia melihat kesungguhan seorang nelayan mengawal kemudi sambil berteriak memberi arahan kepada rakan-rakannya untuk terus berjuang menentang gelombang.

Ribut yang melanda akhirnya reda. Suasana kembali tenang. Dengan senyuman lega, nelayan itu berkata, “Kita selamat.”

Pohon kedua yang telah menjadi bot kecil itu merasa amat kagum dan gembira. Dia menyedari bahawa di atas tubuhnya kini berdiri seorang ‘raja’ yang gagah dan berjasa.
Begitulah takdir menentukan.


SAYA INGIN MENJADI…“Kalau saya satu benda, saya ingin menjadi teddy bear.” Kuat dan jelas suara seorang pelajar perempuan di bahagian belakang membacakan karangannya. Rakan-rakan perempuannya yang lain tersenyum-senyum memandang saya. Pelajar-pelajar lelaki di hadapan ada yang berbisik-bisik sesama mereka dengan butiran yang tidak jelas di telinga.


“Kenapa nak jadi teddy bear?” soal saya teruja.
“Saya ingin jadi teddy bear kerana saya ingin disayangi, manusia selalu suka teddy bear. Kadang-kadang, teddy bear menjadi tempat curahan sedih atau gembira..” Pelajar tersebut membacakan karangan ringkasnya.
Terpapar di mata saya lukisan patung beruang yang tersenyum ceria. Saya turut tersenyum sebaik karangan pendek itu habis dibaca.

Saya beralih pula kepada pelajar perempuan lain. Kak long ingin menjadi baju yang direka dengan pelbagai warna dan menarik perhatian manusia, kak ngah pula mahu menjadi sebuah komputer yang dipenuhi dengan perisian canggih semasa manakala seorang lagi pelajar perempuan sebaya mereka mahu menjadi sebuah robot perempuan kerana fungsinya yang tidak jauh berbeza sebagaimana manusia biasa.

Menarik !

Tiba pula giliran pelajar lelaki membacakan karangan mereka.

“Kalau saya satu benda, saya nak jadi pistol,” kata pelajar lelaki yang berdiri betul-betul di hadapan saya. Mendengar itu, saya tertawa. Jawapannya itu agak jauh dari jangkaan saya dan rakan-rakannya yang lain.

Salah seorang pelajar lelaki, yang mula-mula membacakan karangannya mahu menjadi Menara Berkembar Petronas, manakala rakan di sebelahnya pula ingin menjadi sebuah kitab suci al Quran. Pelajar seterusnya mahu menjadi sebuah pintu dan pelajar selepas itu pula mahu menjadi sebuah buku. Semuanya dengan sebab masing-masing yang tidak kurang menariknya.

Tetapi yang seorang ini, mahu menjadi pistol?
“Saya nak jadi pistol sebab kalau ada orang jahat, saya boleh mempertahankan diri dan orang lain,” penuh yakin dia mengulas dan memberikan sebab. Saya tersenyum.


KITA BERUSAHA, ALLAH MENENTUKAN“Baik…semua jawapan dengan sebab-sebab yang diberi bagus dan menarik. Tapi tentu kamu pelik, apa pulak kaitannya karangan dan lukisan ‘impian’ kamu ingin menjadi benda itu dengan matapelajaran tauhid kita pada hari ini?” saya melontarkan persoalan untuk membuka minda mereka.

Semua pelajar tersebut diam. Mereka tekun mendengar. Kelihatan dari wajah mereka, ternanti-nanti penjelasan selanjutnya.

“Sebenarnya ustazah nak sentuh tentang kekuasaan ALLAH SWT sebagai TUHAN yang menentukan segala-galanya. Dalam rukun iman yang keenam, ia disebut sebagai beriman dengan qada dan qadar.”

Saya berhenti seketika dan menarik nafas. Agak sukar juga membicarakan tajuk yang menyentuh keyakinan kepada ALLAH SWT ini menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Pada saya, tidak perlu menghuraikan panjang lebar tentang qada dan qadar dalam bahasa ilmiah yang sukar untuk anak-anak seusia mereka mencerna dan mengerti, tetapi cukup hanya dengan contoh ringkas beserta aktiviti yang menarik perhatian mereka sebagaimana permulaan yang saya lakukan tadi.

Itu harapan saya.

“Kita semua ada impian dan harapan yang tersendiri. Ramai yang mahu selalu disayangi, dimanja macam teddy bear tadi…”

Terpamer senyuman manis pada wajah pelajar perempuan yang dimaksudkan.

“Tidak kurang juga yang mahu menjadi perhatian ramai macam Menara Berkembar Petronas. Dan ada juga yang mahu menjadi orang bijak dan selalu menjadi tempat rujukan orang lain seperti sebuah buku yang penuh dengan ilmu. Cuma, satu perkara kita kena ingat, tak semua yang kita impikan akan berlaku sebagaimana yang kita mahu sebab ALLAH SWT mempunyai perancangan lain yang kita tak tahu.

Ada sebab mengapa berlaku sebegitu. Allah dah beri kita semua keupayaan untuk berikhtiar dan berusaha sebaik mungkin. Kita ada akal untuk berfikir, ada tenaga, badan yang sihat untuk bekerja. Bila dah berusaha sehabis daya, namun hasil yang kita dapat tidak sebagaimana yang kita mahukan, itulah ujian dan dugaan yang ALLAH datangkan supaya kita melipatgandakan lagi usaha yang ada.

Bukan dengan berserah semata-mata atau menyalahkan takdir atas setiap keburukan yang menimpa. ALLAH berikan bermacam ujian itu untuk melihat sama ada kita akan terus beriman atau tidak, sama ada kita masih tetap meminta bantuan dari ALLAH atau kita akan jadi semakin jauh dari-NYA.

ALLAH nak lihat bagaimana usaha kita berdepan ujian yang diberi. Adakah masih patuh dan taat mengikut syari'at ALLAH atau terus melakukan perkara yang ALLAH benci.
Kerana itu, Rasulullah SAW mengajar kita bagaimana orang yang beriman bila datang ujian dan cabaran dalam hidup, iaitu bersabar bila diberikan ujian keburukan serta bersyukur jika diberi ujian kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sungguh, amat mengagumkan keadaan orang mukmin itu, karena semua urusannya itu baik baginya. Bila ia mendapat ni’mat (kebahagiaan), dia bersyukur, maka itu menjadi kebaikan baginya. Dan bila ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu menjadi kebaikan baginya.” ( Hadis riwayat Muslim)

Itulah maksud beriman kepada qada dan qadar, iaitu kita hendaklah yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya bahawa apa sahaja yang berlaku di dalam hidup kita sama ada yang baik atau buruk, semuanya berlaku dengan kehendak dan kekuasaan ALLAH. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha sebaik mungkin, tetapi hasilnya nanti tetap ALLAH SWT yang menentukan.”

Saya mengakhiri penjelasan dengan satu helaan nafas yang cukup dalam. Wajah-wajah bersih di hadapan terus saya tatap sepenuh jiwa.

“Semoga pelajaran hari ini sedikit sebanyak menambah meklumat mereka tentang kebesaran-MU Ya ALLAH, memupuk iman di dalam jiwa mereka yang masih bersih dari karat-karat dosa.” Saya berbisik memanjangkan munajat ke hadrat Yang Esa.


‘DIA’ PENENTU SEGALASememangnya perjalanan hidup memang tidak selalu seiring sejalan sebagaimana yang kita harapkan. Tiada di antara kita menginginkan keburukan dan kekecewaan berlaku di dalam hayat yang sementara ini. Bahkan apa yang kita mahukan adalah semua yang mulus dan baik-baik belaka.

Akan tetapi, dunia dengan segala isinya merupakan ujian dan masalah yang tidak berpenghujung. Ia bersilihganti menemui kita sepanjang perjalanan usia ini dalam bentuk kesulitan atau kemudahan, dengan ‘rupa’ kebaikan atau keburukan, sebagai satu hikmah untuk ALLAH SWT menyaring di antara sekian ramai umat manusia yang ada, siapa yang benar-benar berjihad dan bersabar di jalan-NYA.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
Maksudnya : ”Dan sesungguhnya KAMI benar-benar akan menguji kamu agar KAMI mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar KAMI menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu”. ( Surah Muhammad [47] ayat 31 )

Sebagaimana kisah dua pohon hutan, seumpama impian anak-anak yang masih belum punya banyak pengalaman kehidupan, manusia memang boleh berharap dan berencana tentang apa saja, tetapi ALLAH jualah yang menentukan hasil akhirnya.

Justeru itu, walau apapun yang sedang kita lakukan, impikan atau angan-angankan, wujudkan satu ruang di dalam jiwa untuk DIA. Sebuah ruang yang bergemerlap dengan cahaya keimanan berisi keyakinan yang ampuh terhadap segala kehendak-NYA. Lantaran apa yang ada dalam pengetahuan ALLAH SWT sebagai Pencipta, benar-benar berada di luar kuasa dan jangkauan manusia. Hanya ikhtiar yang tidak mengenal putus asa, doa, raja’ ( harapan ) dan tawakal kepada-NYA, menyediakan kita dengan jiwa hamba yang tenang dan reda atas setiap ketentuan Yang Maha Esa.


PADA MANUSIA DAN ALAM INISaya menginsafi dengan segala kekerdilan diri, bahawa setiap kejadian-NYA tidak ada yang sia-sia. Walau ada ketikanya, sesuatu yang dirancang kelihatan tersasar dari matlamat yang diimpi, saya pasti bahawa ALLAH SWT memiliki rencana untuk diri ini.

Tinggal lagi, untuk saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada DIA Yang Maha Mengetahui. Selamanya, kita sebagai manusia tidak akan pernah tahu apa perancangan ALLAH untuk kita. Kita hanya tahu bahawa ‘cara-cara dan jalan-jalan NYA’ merupakan yang terbaik untuk diyakini dan dipercayai.

Saya masih merenung ke langit yang tinggi, namun cahaya yang melimpah kian sirna ditutupi awan mendung yang tidak lagi bersih memutih. Sang angin terus setia bertiup, membawa bersamanya lebih banyak awan mendung nan kelabu.

Sungguhpun begitu, hati ini tetap disiram kedamaian dan kebahagiaan kerana saya tahu, sebentar lagi akan jatuh titis-titis jernih. Membersih kotoran debu dan habuk-habuk yang berterbangan di udara.

Sesungguhnya pada diri manusia dan alam ini terserlah kebesaran TUHAN yang tidak terungkapkan.

Maha suci-MU Ya ALLAH!

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

ummuhusna99.blogspot.com
»»  read more

Tuesday, November 2, 2010

Sindrom hebatnya aku. Sibuk berdakwah!



Hebatnye?
 
Cabaran dan ujian datang dalam bentuk yang pelbagai. Bagi yang beramal ia datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat. Merasa keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang telah diusahakan.  
Nabi s.a.w bersabda :-
ثلاث مهلكات : : شح مطاع و هوى متبع وإعجاب المرء بنفسه
Ertinya : Tiga pemusnah (amalan), kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan merasa agung dan hebat dengan diri" ( Riwyaat Al-Bazzar & At-Tabrani, Hadis Hasan  : ALbani )
Ada yang terdetik di sudut hatinya.
"Aku hebat, akulah sentiasa solat berjemaah di masjid"
Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya malah jauh lebih khusyu solatnya dan hatinya tawadhu'.
Benar, sedarkah kita bahawa walaupun kita sentiasa ke masjid, namun kebiasaannya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid atau surau itu. Mungkin sekali sekala kita yang terawal namun dalam banyak keadaan kita bukan yang terawal. Malah jika yang terawal sekalipun ia belum tentu yang paling berkualiti di sisi Allah swt.
Ada yang terdetik :
"Akulah hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam."
Sedangkan ia lupa ramai lagi yang lebih lama telah berjuang darinya, malah ada yang terkorban. Jauh lebih berani dari dirinya.
DAHSYATNYA AKU, SIBUK BETUL
Lagi detikan :-
"Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah..hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini"
Ada yang merasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain, sehingga mindanya terhalang dari merasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa darinya.  
Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah diri dan amal. Malah ia terlupa dek kerana keghairahan memuji dirinya, terdapat ramai lagi yang lebih sibuk darinya dalam hal dakwah, malah 5 -6 ceramah setiap hari. Malah ada yang jauh lebih sibuk dari bercermaha. Iaitu mereka yang berjuang dalam penulisan kitab 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero dunia.
Lupakah dirinya, terdapat ramai yang berjuang namun bukan sekadar memberi ceramah tapi mereka sudah sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti-inti ceramah tersebut sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan. Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat ummat dari sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.
Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, sudahnlah ianya sedikit  malah perasaan sebegini akan menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah swt. Inilah nasihat buat saya dan rakan-rakan pendakwah di luar sana.
Rasulullah s.a.w mengajar kita, dalam hal keagamaan untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
Namun adalah malang ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik. Dalam hal dunia sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu dari segala hukum halal haram.
Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk darinya, lalu mengganggap dirinya agak lebih baik. Seperti kata :
"ala orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu"
PALING ALIM
Selain dari itu, ada yang terdetik :
"Akulah antara yang teralim dan paling mendalam"
Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain. Sedangkan terleka dari firman Allah swt :-

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ
Ertinya : "..dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui" ( Yusuf : 76 )
Inilah yang menjadikan Khalifah Umar Al-Khattab berkata :-
كل الناس أفقه من عمر
Ertinya : Semua orang lebih faham dari Umar al-Khattab (Tafsir Ibn Su'ud, 6/276 )
Inilahyang disebutkan oleh Ibn Qayyim :-
أي فوق كل ذي علم رفعه الله بالعلم من هو أعلم منه حتى ينتهي العلم إلى الله تعالى والكمال في العلم معدوم من غيره
Ertinya : ertinya di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, terdapat mereka yang lebih mengetahui darinya sehinggalah tamat pada ilmu Allah swt, dan yang sempruna dalam ilmu tidak selain Allah( Zad AL-Masir, 4/262 )

Ya Allah, diminta jauh dari penyakit sebegini hinggap di dalam hati-hati kami. Perlulah dikethaui bahawa antara punca datangnya penyakit ini adalah hasil pujian-pujian menggunung yang diperolehi. Sila baca bab tersebut di sini.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Penyakit : Sibuknya, Hebatnya 
23 Jun 2008
»»  read more

Liqa' Nuqaba..

Liqa' Nuqaba..

Liqa Nuqaba'

Liqa Nuqaba'

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab

Daurah Kitab