MTEN IPGM-KPI

Gagasan Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) Diwujudkan Sekitar Tahun 2005-2006 Bagi Memastikan Kelangsungan Biah Islamiyyah Di Bumi IPGM-KPI ini terus berkemudi.

Dapatkan Update Terkini

Daftar Untuk Update Terkini

Tuesday, June 30, 2009

Isu Selatan Thai : Perkaitannya dengan guru di Malaysia

ISU ANTARABANGSA


Isu Selatan Thai : Perkaitanya dengan guru di Malaysia


Peristiwa 1 : Ustaz Aziz yang merupakan mudir sebuah sekolah agama telah ditembak mati bersama anak lelaki sulung mangsa berusia 17 tahun dihadapan rumah kedai milik mangsa pada waktu Asar sekitar jam 4 petang pada bulan Mac 2008. Penyerang yang tidak dikenali melepaskan tembakan bertalu – talu secara mengejut daripada sebuah kereta Vios berwarna hitam. Kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian.

Peristiwa 2 : Muhammad Khoya merupakan seorang Imam di Masjid Darul Salam, Kg Teluk Au, Yaring dan juga merupakan seorang guru yang mengajar di masjid dengan pendapatan 800 – 1000 Bath (RM80 – RM 100) sebulan. Beliau telah ditembak mati oleh pihak yang tidak dikenali selepas keluar daripada masjid sesudah solat pada Jun 2008. Rumah yang didiami oleh Allahyarham juga telah dituduh sebagai tempat menghasilkan bom buatan sendiri oleh pihak polis.


Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada bulan Ramadhan tahun 2004 telah banyak mengubah persepsi masyarakat Malaysia terhadap Selatan Thai. Seramai 85 orang telah terbunuh pada hari berkenaan akibat sesak nafas kerana tertindih beramai-ramai dalam trak askar. Peristiwa pengeboman di dalam Masjid Krisik dan beberapa lagi siri pembunuhan beramai-ramai ala operasi ketenteraan konvensional yang jelas bertentangan dengan hak-hak kemanusiaan untuk menewaskan kumpulan pemisah ini telah merosakkan imej tentera di Selatan Thai dalam kalangan masyarakat dunia dan yang terbaru 11 orang penduduk Kampung Air Tempayan, Bechah Airong (Choairong) telah dibunuh dan dua belas orang lagi cedera parah ketika sedang solat berjemaah Isya’ di dalam Masjid Al-Furqan.

Berapa ramaikah mangsa-mangsa dalam peristiwa pembunuhan di atas terdiri daripada guru dan ustaz? Apakah faktornya dan kenapakah banyak pesantren yang digempur oleh tentera-tentera Thailand? Peristiwa-peristiwa pembunuhan yang berlaku sebenarnya perlu diteliti dan perlu menjadi iktibar dan pengajaran oleh para pendidik Muslim di seluruh pelusuk dunia. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 17 :

Maksudnya : Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan Yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang Yang beriman.


Golongan pendidik ini merupakan ‘agen perubah masyarakat’ yang paling efektif. Mereka mampu mengubah sesuatu keadaan masyarakat dengan menggunakan ilmu dan pengalaman yang mereka peroleh serta mampu menyedarkan dan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk bangun dari kelalaian dan berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya. Contoh yang jelas dapat dilihat sendiri di dalam diri RasuluLlah sebagai contoh murabbi yang telah berjaya mengubah keadaan masyarakat jahiliah pada ketika itu kepada nur Islam.

Konflik di Selatan Thai yang bergolak telah digunakan oleh para pendidik di sana untuk ‘meniupkan’ semangat jihad dalam kalangan masyarakat agar mempertahankan kampung mereka daripada musuh. Oleh sebab kelebihan sebagai agen perubah masyarakat itulah kedua-dua golongan ini (guru dan ustaz) menjadi sasaran musuh-musuh Islam kerana ilmu yang mereka ada mampu merubah keadaan masyarakat di sana. Pesantren yang dijadikan tempat untuk pendidik ini mencurahkan ilmu dan membina semangat berjihad menjadi target musuh-musuh Islam di sana. Namun, kelicikan, kekuasaan dan pengaruh media oleh musuh-musuh Islam menyebabkan masyarakat di sana seperti mereka berada di kandang pesalah.

Walaupun situasi di sana berbeza dengan situasi di negara kita tetapi, mengapa kita tidak menggunakan kelebihan sebagai agen perubah masyarakat untuk merubah masyarakat kita yang sedang dilanda kepincangan dari sudut aqidah, akhlak dan sebagainya. Penularan isme-isme yang merosakkan bangsa seperti hedonisme dan sebagainya tidak mampu lagi dibendung dalam masyarakat kita. Atau mungkinkah golongan pendidik hari ini sendiri yang telah dijangkiti isme-isme ini? Golongan pendidik hari ini perlu sedar jatuh bangun sebuah bangsa dan agama adalah terletak di bahu kita sendiri. Nasihat dan tunjuk ajar para guru dan ustaz di sekolah menjadi ‘hujah’ anak murid apabila berhadapan dengan keluarga di rumah.

Oleh itu, golongan pendidik pada hari ini perlu sedar serta berusaha memimpin masyarakat dan diri supaya masyarakat kita menjadi lebih bertamadun dan bertaqwa. Unsur-unsur Islam juga perlu diterapkan dalam setiap subjek di sekolah kerana pendidikan di Malaysia kini dilihat lebih cenderung kepada ‘pendidikan sekularisme’. Daripada pendidikan yang sekular inilah akan menyebabkan masyarakat jauh dari agama dan seterusnya menjadikan agama hanya terletak di masjid dan surau-surau sahaja. Selain itu, golongan guru hari ini juga dikritik hebat kerana hanya mampu mengajar dan bukannya mendidik. Tidak hairanlah Prof. Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan bahawa pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Bakal-bakal guru perlu mempersiapkan diri dengan iman dan ilmu pengetahuan supaya pendidikan di negara kita mampu melahirkan generasi yang mampu mencorakkan masa depan agama, bangsa dan negara yang sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

“Bersama berubah ke arah yang lebih baik”

*Artikel ini adalah hasil salah satu perancangan Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan MTEN. Teguran atau pandangan (dialu-alukan) bolehlah dihantarkan melalui e-mel di uranium_213@yahoo.com

0 comments:

Post a Comment

Liqa' Nuqaba..

Liqa' Nuqaba..

Liqa Nuqaba'

Liqa Nuqaba'

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab

Daurah Kitab