MTEN IPGM-KPI

Gagasan Majlis Tarbiyah Nuqaba (MTEN) Diwujudkan Sekitar Tahun 2005-2006 Bagi Memastikan Kelangsungan Biah Islamiyyah Di Bumi IPGM-KPI ini terus berkemudi.

Dapatkan Update Terkini

Daftar Untuk Update Terkini

Wednesday, June 10, 2009

Doa Senjata Mukmin

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Amalan berdoa merupakan tuntutan yang digalakkan oleh Allah dan rasul-Nya. Terdapat beberapa kalamullah (al-Quran) mahupun hadith yang menyebut tentang galakan berdoa. Allah berfirman:

"Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku [berdoa kepada-Ku] akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (surah al-mukmin:60)

Firman Allah lagi :

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas [tentang yang diminta dan cara meminta]."(surah al-a'raf :55)

Dalam petikan hadith riwayat Bukhari yang mana Rasulullah juga menggalakkan amalan berdoa :

"Doa itu ibadat."

doa telah diajar oleh Rasulullah (S.A.W) untuk diamalkan sepanjang kehidupan bermula dari bangun awal pagi sehingga tidur semula. Begitu juga dengan bacaan doa untuk menghadapi ujian dan cabaran dalam kehidupan. Semua ini adalah benteng kekuatan individu itu sendiri untuk melayari bahtera kehidupan sebagai hamba Allah di atas bumi ini. Apa yang diharapkan adalah doa yang dipohon termakbul dan dapat mengatasi segala permasalahan kehidupan yang dihadapi.

Islam tidak hanya menyeru umatnya berdoa untuk selesaikan masalah secara bersendirian. Amat digalakkan agar umat Islam berdoa untuk kesejahteraan orang lain. Ini menunjukkan nilai kasih sayang dan kesatuan ummah yang ada pada diri umat Islam itu sendiri.

Islam itu agama yang tidak membebankan umatnya. Ya, memang benar. Kita dituntut untuk bantu-membantu antara satu sama lain, sama ada dalam bentuk tenaga ataupun harta. Jika tiada upaya menghulurkan bantuan berbentuk fizikal, maka di sinilah letaknya peranan doa sebagai salah satu usaha yang murni .

Ini memberi gambaran yang jelas tentang nilai kesejagatan Islam yang tidak membatasi sempadan benua, warna kulit, bahasa , budaya mahupun corak kehidupan. Bertepatan dengan sabda Rasulullah (S.A.W) yang bermakud :

"Barangsiapa yang tidak ambil berat permasalahan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan mereka ."

Justeru itu, salah satu bantuan yang boleh kita berikan kepada orang Islam lain yang dalam kesusahan adalah dengan mendoakan mereka. Walaupun berdoa untuk saudara mukmin tanpa pengetahuannya; satu amalan yang mulia. Amalan ini ada sandaran dalilnya. Firman Allah SWT :

"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) , mereka berdoa : Ya Tuhan kami, berikan keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr : 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang Muhajirin dan Ansar berdoa kepada sanak saudara mereka yang telah terlebih dahulu beriman sebelum mereka. Ini menunjukkan amalan berdoa untuk orang yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan kerana ia termaktub dalam ayat suci al-Quran. Maka doa seorang anak yang soleh kepada arwah kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan. Daripada hadith riwayat Abu Hurairah (r.a) yang bermaksud:

"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang bermanfaat daripadanya dan doa dari anak yang soleh." (Riwayat Muslim)

Allah menukilkan doa Nabi Ibrahim dalam al-Quran yang bermaksud:

"Ya Tuhan kami , berilah keampunan kepadaku, kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)." (Surah Ibrahim: 41)

Doa daripada Nabi Nuh yang bermaksud:

"Ya Tuhanku, ampunilah ibu bapaku, orang yang masuk dalam rumahku dengan beriman dan semua yang beriman baik yang lelaki ataupun yang perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan lagi bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan." (Surah Nuh : 28)

Selain itu, Nabi Muhammad (S.A.W) juga mengajar kita membaca doa apabila melalui tanah perkuburan untuk kesejahteraan buat ahli kubur, yang bermaksud :

"Salam sejahtera ke atasmu wahai ahli kubur, semoga Allah mengampuni dosa kami dan dosa kamu, kamu adalah golongan perintis dan kami akan menuruti jejakmu." (Riwayat Tirmidzi)

Manakala petikan daripada hadith daripada Abu Darda' (r.a) bahawa dia mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda :

"Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat , engkau juga beroleh yang seumpama dengannya." (Riwayat Muslim)

"Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) adalah mustajab (diterima) , di sisi kepalanya malaikat yang diutuskan Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin! , engkau juga beroleh manfaat yang sama ." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibnu Umar (r.a), Rasulullah (S.A.W) bersabda :

"Doa yang paling segera dimakbulkan adalah doa ghaib." (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Ini jelas daripada dalil naqli bahawa bukanlah doa semata-mata malah menunjukkan kelangsungan hidup bersama mukmin yang lain. Selain menjadi penghubung melalui komunikasi langsung hamba dengan khaliqnya , tetapi juga penghubung silaturrahim sesama muslim yang lain.

Inilah cantiknya Islam , bukan sekadar amalan-amalan fardi (untuk individu itu sendiri) malah mencakupi amalan jamaie (kolektif).Ia melangkaui batasan sempadan warna kulit, keturunan dan perbezaan bahasa. Tidak hanya mendoakan kepada orang yang dikenali, malah merentasi rentasan yang lebih global walau tanpa perkenalan secara formal , namun ia dihubungkan oleh Allah melalui ukhwah Islamiyyah. Ini menjadi teras kesatuan akidah dan satu pegangan.

Semoga seluruh umat Islam sentiasa dalam keberkatan dan redha-Nya. Amin Ya Rabb..





0 comments:

Post a Comment

Liqa' Nuqaba..

Liqa' Nuqaba..

Liqa Nuqaba'

Liqa Nuqaba'

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 2

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab Siri 3

Daurah Kitab

Daurah Kitab